KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk membantu para pelajar di negeri itu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Openg, bantuan itu sebagai insentif seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah mengadakan rundingan dengan pihak PTPTN untuk menentukan kaedah pembayaran balik tunggakan kepada PTPTN.

“Sekarang ini baru sahaja selesai perbincangan antara Yayasan Sarawak dengan PTPTN.

“Sudah ada formula bagi kita membantu pelajar Sarawak menyelesaikan tunggakan dengan PTPTN di mana kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta,” ujarnya dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini seperti dipetik Astro Awani.

Difahamkan, pemberian insentif tersebut akan membantu pelajar menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang mereka dengan PTPTN yang melibatkan 9,634 pelajar.

Ketua Menteri Sarawak sebelum ini dipetik berkata, pelajar yang dibantu kemudiannya perlu membayar balik kepada Yayasan Sarawak mengikut mekanisme yang ditetapkan.

“Bantuan itu bukan percuma,” katanya dipetik berkata dalam satu ucapan.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk membantu para pelajar yang mempunyai hutang dengan PTPTN bagi mengelakkan mereka terkait dengan permasalahan lain.