KUCHING:  Kini Malaysia berada pada kedudukan ke-61 dunia dari segi jumlah kes jangkitan Covid-19.

Menurut Worldometers, setakat tengah hari ini, Malaysia sudah merekodkan 158,434 kes jangkitan.

Jumlah kematian pula ialah 601 kes.

Angka jangkitan di negara ini mendadak naik dalam dua tiga minggu terakhir.

Semalam sahaja jumlah kes lebih daripada 3,000, malah negara ini pernah mencecah lebih 4,000 kes.

Pada 1 Disember, Malaysia berada di kedudukan ke-83 di dunia dengan 65,697 kes Covid-19 dan keadaan semakin memburuk selepas itu.

“Akibatnya, Malaysia telah menunjukkan prestasi terburuk dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di pentas dunia, melonjak 22 anak tangga antara negara-negara lain, ” kata ahli politik veteran Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Pada 16 Disember 2020, dengan Malaysia berada di kedudukan ke-79 dengan 87,913 kes sementara.

Malaysia  berada nombor tiga di Asia Tenggara, di belakang Indonesia dan Filipina.

Indonesia kini di tangga ke-20 dengan 907,929 kes jangkitan dan hampir 26,000 kematian.

Filipina pula di tangga ke-32 dengan lebih setengah juta kes dan hampir 10,000 kematian.