KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak berada di tangga kedua di Malaysia selepas merekodkan prestasi pertuduhan sebanyak 632 kes tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, kejayaan itu dapat diatasi biarpun kes tersebut menunjukkan tren peningkatan sebanyak 122 kes iaitu 1462 kes berbanding tempoh sama tahun 2019 sebanyak 1340 kes.

Beliau turut mendedahkan keadaan jenayah secara keseluruhan di negeri ini berada di tahap yang terkawal.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 5874 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 6024 kes dalam tempoh sama pada tahun 2019 sekaligus menunjukkan penurunan sebanyak 150 kes.

“Nilai ambang yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan bagi 1 Januari hingga 31 Disember 2020 adalah 6103 kes dan Kontinjen Sarawak telah berjaya mencatatkan sejumlah 5874 kes sepanjang tempoh tersebut dengan penurunan sebanyak 229 kes (3.75 peratus),” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Pesuruhjaya Polis Sarawak 2021 di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Kuching hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan polis Sarawak akan tetap berusaha mengurangkan indeks kes dengan pelbagai pelan dan operasi yang telah dirancang.

Sementara itu katanya kes jenayah narkotik menunjukkan peningkatan dari segi jumlah tangkapan iaitu sebanyak 21 peratus (10,294) pada tahun lalu berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu 8506 tangkapan.

Manakala jelasnya tindakan perlucutan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya 1988 pada tahun 2020 telah mencatat sitaan sebanyak RM6,077,370.03 iaitu peningkatan sebanyak 36.34 peratus berbanding RM4,457,411.99 bagi tahun 2019.