KUCHING: Sistem Kamera litar tertutup (CCTV) yang dipancarkan di lokap tahanan seorang gadis berusia 16 tahun yang mendakwa dirinya dirogol pada 9 Januari lalu disahkan berfungsi dengan baik.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan mendapati CCTV itu bagaimanapun tidak melakukan rakaman ketika kejadian berikutan alat itu cuma dipasang untuk dapat dilihat oleh petugas-petugas yang berada di bilik kawalan sistem tersebut sahaja.

Aidi turut mengesahkan lokasi kejadian berlaku iaitu tandas di kawasan lokap itu tidak dipasangkan kamera terbabit.

“CCTV memang ada dan kita sedang menyiasat juga mengapa petugas tidak melaporkan kejadian.

“Justeru kita telah mengerahkan pasukan penyiasat untuk melihat benda ini dan rumuskan kemudian termasuk peraturan penugasan dan lawatan oleh pegawai ke lokap dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Mes Pegawai IPK pagi tadi.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Kontinjen Kuching dan Miri setakat ini berjaya mengambil keterangan daripada saksi kejadian.

Tegasnya, penyelarasan kes telah diserahkan kepada Timbalannya Datuk Fisol Salleh bagi memastikan kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ujarnya, siasatan kes akan dilaksanakan sepenuhnya pada minggu ini dan pihaknya akan melihat semula ketidakpatuhan ataupun kecuaian yang berlaku membabitkan anggota polis ketika bertugas.