PERKATAAN darurat begitu popular di Malaya dari 1948 hingga 1960 ketika kerajaan menentang ancaman dan kebangkitan komunis. Pada waktu darurat berkenaan, sekitar 40,000 tentera dikerah untuk menghapuskan anasir komunis. Dalam tempoh 12 tahun perintah darurat dilaksanakan, kira-kira 11,000 nyawa terkorban, termasuk 2,500 orang awam.

Kemudian darurat sekali lagi berlaku pada 1964 selepas Malaysia ditubuhkan susulan Konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia. Ia akibat pembangkangan politik dan tentera Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.

Sarawak berdepan dengan keadaan darurat pada 1966 ketika berlaku kemelut politik dan perlembagaan berkaitan dengan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sehingga akhirnya beliau dipecat sebagai Ketua Menteri.

Tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan kerajaan persekutuan mengisytiharkan darurat pada 15 Mei sehingga diwujudkan Majlis Gerakan Negara. Parlimen digantung dan hanya bersidang semula pada 20 Februari 1970.

Kelantan juga berdepan dengan darurat pada 1977 disebabkan keganasan politik selepas Mohamed Nasir enggan berundur sebagai Menteri Besar. Seyogia diingat, negara kita juga pernah berdepan dengan darurat disebabkan ancaman jerebu sebanyak tiga kali — 1997, 2005 dan 2013.

Kerajaan telah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos depan susulan ancaman Covid-19 yang semakin menggila meskipun ada yang melihatnya bersalutkan motif politik dan kuasa.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang tiga kali pada tahun ini, termasuk dari 8 Mac hingga 8 April dan 14 Jun hingga 1 Julai ketika kita masih berada dalam tempoh darurat. Dengan itu, persidangan parlimen tidak akan diadakan.

Darurat lazimnya diisytiharkan apabila terdapat ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam atau tergugat serta tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Pengisytiharan begini dikeluarkan apabila berlaku bencana alam, malapetaka yang luar biasa, pergolakan sivil atau menyusuli pengisytiharan perang. Pengisytiharan darurat merupakan pemasyhuran oleh Yang di-Pertuan Agong melalui satu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir wujud.

Tegasnya, pengisytiharan ini bertujuan untuk membendung sesuatu keadaan atau fenomena daripada bertambah buruk. Persoalannya, di bawah pengisytiharan darurat sekarang, adakah kuasa eksekutif Persekutuan meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri, dan ia boleh memberi arahan kepada kerajaan Negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri?

Apakah implikasi proklamasi darurat ini terhadap Pilihan Raya Negeri Sarawak? Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang akan tamat pada 7 Jun. Adakah ini bermaksud DUN akan terbubar secara automatik? Atau DUN terhenti untuk seketika, dan tempoh berkenaan tidak diambil kira?

Terdapat pendapat mengatakan tempoh tamat DUN sekarang tidak berlaku di bawah Darurat kerana Perlembagaan Persekutuan dan Negeri adalah digantung. Bermakna, ‘masa tidak bergerak’ dalam tempoh darurat, justeru isu DUN dibubarkan pada 6 Jun tidak lagi relevan, sebaliknya menjadi akademik.

Sebaik sahaja Darurat ditamatkan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri kembali berjalan seperti sedia kala. Dengan itu, Ketua Menteri mempunyai kuasa kembali untuk berjumpa dan menasihati Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN.

Di bawah Perlembagaan Negeri, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN atau DUN terbubar. Maksudnya, PRN perlu diadakan selewat-lewatnya pada 6 Ogos tahun ini dihitung dari tarikh penggal DUN tamat.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan tentang darurat beberapa hari lalu, Pilihan Raya Umum, PRN dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat hingga 1 Ogos depan.

Dengan ini bermaksud, tempoh DUN sekarang perlu dilanjutkan. Kalaupun tempoh DUN sudah tamat, ini bukan bermaksud kerajaan GPS sudah hilang kuasa atau tidak lagi berkuasa. Yang dialaminya kini bukan bikinannya sendiri. Sebaliknya, ekoran perisytiharan darurat oleh Agong dan ini tidak bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negeri atau negara.

Saya percaya, jika diberi pilihan, Kerajaan GPS mahu mengadakan PRN dan menyerahkan kembali keputusan kepada rakyat. Lagi cepat lagi bagus untuk mendapatkan mandat baharu, tetapi disebabkan ancaman Covid-19 maka PRN terpaksa ditangguhkan. Sebaik sahaja tempoh penggal DUN tamat, pentadbiran kerajaan akan berjalan seperti biasa.

Kerajaan sedia ada, bertindak sebagai kerajaan interim. Sebagai kerajaan interim atau sementara, ia masih boleh melaksanakan tugas-tugas pentadbiran seperti biasa. Seyogia diingat, ini berbeza daripada keadaan ketika kita mengalami darurat selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila pentadbiran diambil alih oleh tentera atau Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu, Parlimen dan DUN tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong.

Tujuannya agar pilihan raya tidak diadakan sewaktu pandemik sedang menular di negara sebagai menjaga nyawa dan keselamatan rakyat daripada jangkitan tersebut. Sejak kebelakangan ini jangkitan Covid-19 mencecah empat angka setiap hari sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Namun, waktu darurat rakyat boleh menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Kehidupan mereka tidak terjejas berbanding darurat membabitkan keselamatan negara seperti pada 1969.

Ketika darurat berkenaan, rakyat diperintahkan berkurung di dalam rumah sedangkan di bawah darurat sekarang, boleh dikatakan, rakyat bebas bergerak. Jadi, darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong kali ini, tidak sama dengan darurat pada 1948 hingga 1960, 1964 atau 1969.

Kita masih lagi dapat bergerak bebas atau dan mengamalkan kebebasan bersuara. Perkara ini perlu kita fahami betul-betul. Kali ini, darurat bertujuan untuk menangani dan ancaman Covid-19 dengan berkesan.

Bagaimanapun, seyogia diingat dalam tempoh darurat dari 1964 hingga 2001, 11 PRU telah diadakan.

Pilihan terbaik adalah untuk mengadakan PRN sebelum tarikh berkenaan. PRN sepatutnya diadakan diadakan pada akhir Mac atau Sabtu pertama April. Ini kerana ia bukan sahaja musim cuti sekolah, tetapi juga selepas Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Meh diadakan.

Tarikh berkenaan difikirkan sesuai kerana selepas itu umat Islam akan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebelum masyarakat Dayak meraikan Gawai Dayak pada 1 Jun.

Persoalannya, wajarkah darurat diisytiharkan untuk seluruh negara? Adakah Sarawak berdepan krisis ketika darurat itu diisytiharkan? Atau sepatutnya Sarawak dikecualikan daripada pengisytiharan itu? Berdasarkan jumlah kes keseluruhan Covid-19 ketika itu, jumlahnya masih lagi terkawal. Dengan vaksin dijangka sudah sampai di negeri ini pada Februari ini, sepatutnya kita dapat mengawal jumlah jangkitan kes.

Dalam keadaan sekarang, umum mempunyai tanggapan bahawa PRN Sarawak tidak boleh diadakan sebelum 1 Ogos. Namun, bagaimana kalau jumlah kes jangkitan memang dapat dikawal dengan berkesan? Adakah darurat dapat dicabut lebih awal?

Sudah pasti, jika jumlah kes jangkitan di Sarawak jauh berkurangan dan lekuk jangkitan dapat dilandaikan, tidak ada masalah bagi Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan untuk memperakukan agar darurat di Sarawak ditarik balik.

Ingat, jawatankuasa itu ditubuhkan dengan tujuan pelaksanaan darurat adalah adil dan telus, tanpa agenda atau motif politik di sebalik sebarang keputusan yang dibuatnya. Dengan itu, Sarawak dapat melaksanakan PRU-12. Sebaliknya, jika jangkitan semakin teruk, Sarawak tiada pilihan melainkan terpaksa terus menangguhkan PRN.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara