KUCHING: Terdapat dua kes kematian dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 21 kes.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes kematian ke-20 adalah kes Ke-2,065 yang melibatkan seorang lelaki warga Sarawak berumur 42 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri pada 13 Januari kerana tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada 14 Januari lalu.

“Calitan saringan kes telah diambil pada 14 Januari dan telah didapati positif COVID-19 pada 16 Januari.

“Kes juga mempunyai co-morbid penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan mengalami jangkitan Hepatitis C,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambahnya, kes kematian ke-21 juga melibatkan lelaki warga Sarawak berumur 55 tahun yang disahkan positif pada 15 Januari dan dimasukkan ke Hospital Sibu pada hari sama.

“Kes tersebut berasal dari Daerah Kanowit dan merupakan kontak rapat kepada Kluster Pasai yang disaring pada 12 Januari lalu.

“Kes mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta jangkitan buah pinggang dan disahkan meninggal pada jam 1.41 pagi hari ini,” ujarnya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, terdapat 100 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan keseluruhan kes positif meningkat kepada 2,211 kes.

Menurutnya, Sibu merekodkan kes tertinggi hari ini dengan melibatkan 37 kes diikuti Belulu (27), Betong (tujuh), Miri (tujuh), Kuching (enam), Bintulu (empat), Selangau (empat), Sri Aman (tiga), Lubok Antu (tiga), Sarikei (satu) dan Kanowit (satu).

“Bagi kes di Sibu, daripada 37 kes tersebut 28 kes melibatkan Kluster Pasai, lapan kes lain-lain saringan dan satu kes saringan individu balik dari kawasan berisiko jangkitan (Kes Import B: Negeri Sembilan).

“Manakala, 27 kes yang dikesan di Beluru juga melibatkan Kluster Pasai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Uggah juga memaklumkan terdapat tujuh kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu; Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bah Sayap, Miri; Kluster Stutong, Kuching; dan Kluster Mador, Meradong.