KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Umno sehingga tempoh penggal berakhir pada 2021.

Walaupun ada  gesaan mahukan Ahmad Zahid  yang juga ahli parlimen Bagan Datuk “berehat”, bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Parti.

“Apa pun tahun 2021 ini tahun pemilihan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Biarlah proses biasa dalam parti berjalan. Sementara itu, sama-sama berusaha perbaiki keadaan parti,” katanya dalam kemas kini di entri Twitternya, hari ini.

Terdapat gesaan beberapa pemimpin dan ketua sayap Umno negeri agar parti itu mengadakan pemilihan segera bagi menyelesaikan kemelut dan menentukan hala tuju parti Melayu terbesar itu.

Ia termasuk menyarankan agar Ahmad Zahid  supaya berehat memimpin parti itu.