TELANG USAN: Kebimbangan berlakunya jangkitan COVID-19 dari Kluster Bah Sayap telah menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPPD) Telang Usan mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan sanitasi ke atas semua lokasi yang telah dikunjungi seorang kontak rapat pesakit virus COVID-19.

Penglibatan dan kerjasama daripada agensi kerajaan dengan kekuatan lima orang anggota Bomba dan Penyelamat Telang Usan, seorang dari Pejabat Daerah Telang Usan, seorang dari Klinik Kesihatan Long Lama dan seorang dari Majlis Daerah Marudi telah melaksanakan program sanitasi pada Khamis, 13 Januari 2021.

Antara lokasi yang dikenal pasti dan telah dilaksanakan sanitasi ialah Rumah Puan Urai Ngau, Kampung Kayan Long Lama, Gereja BEM, Long Lama dan Hotel Lama Hotel.

Sebagai langkah berjaga-jaga, JPBD Telang Usan turut melaksanakan sanitasi ke atas Pejabat Daerah Telang Usan.

Sehingga kini, semua langkah yang diperlukan telah diambil termasuk mengesan dan memanggil semua kontak rapat kepada individu Kluster Bah Sayap yang terlibat dalam majlis orang meninggal di Pekan Long Lama untuk disaring COVID-19.