KUCHING: Polis Sarawak menggantung tugas dua anggotanya selepas seorang gadis bawah umur mendakwa dirogol seorang tahanan lain, ketika ditahan di dalam lokap tahanan Balai Polis Pusat Miri, lapor Astro Awani.

Dalam kejadian pada 9 Januari itu, gadis tersebut ditahan kerana dipercaya terbabit dalam aktiviti judi online.

“Ketika ditangkap di tempat kerjanya, sehari sebelum kejadian, mangsa telah ditahan di dalam tahanan berasingan untuk membantu siasatan. Bagaimanapun sekitar jam 4 pagi, lokap mangsa telah dibuka oleh suspek yang memiliki kunci lokap, sebelum bertindak merogolnya di tandas lokap,” lapor Astro Awani lagi.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis, dan suspek kemudian ditahan lanjut serta didakwa atas perbuatannya.

Pada 12 Januari lalu, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Miri dan mengaku bersalah.

Pada petang semalam, mangsa dan bapanya, diiringi Senator Alan Ling telah sekali lagi membuat laporan polis.

Kali ini membabitkan kecuaian pihak polis yang membenarkan kejadian ini berlaku di dalam premis mereka.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail  dipetik porltal berkenaan berkata, kedua-dua anggota polis tersebut digantung tugas kerana cuai dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bertugas.

Kes katanya, kini sedang dalam siasatan.