KUCHING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SK Matu Baru yang dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir dari Kampung Seberang Hilir sejak tiga hari lepas sudah ditutup pada petang Sabtu susulan keadaan banjir pulih sepenuhnya.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kesemua 156 mangsa banjir sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jelasnya, mereka dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing selepas pemantauan yang dilakukan mendapati air banjir sudah surut.

“Semua mangsa banjir juga dalam keadaan sihat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di PPS dan dibenarkan balik ke rumah mereka pada jam 6 petang,” katanya semasa melakukan lawatan ke PPS SK Matu Baru pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu memudahkan urusan mangsa-mangsa banjir di situ.