Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh Sarawak semalam mencatatkan sebanyak 69 kes, peningkatan sembilan kes dari hari sebelumnya (15 Januari).

Menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Sibu merekodkan kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 30 kes, diikuti Kuching (10), Bintulu (9), Kanowit (5), Miri (4), Meradong (2), Asajaya (2), Selangau (2), Lubok Antu (1), Samarahan (1), Sarikei (1), Simunjan (1) dan Sebauh (1).

Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 2,049 kes (sehingga semalam, 16 Januari 2021).

Sebagai Ahli Parlimen Kapit, saya berasa agak lega melihat tiada kes baharu dicatatkan dalam kawasan Parlimen P.215, namun pada masa sama tidak ingin mengambil sikap terlalu selesa.

Setakat kini, terdapat dua kes direkodkan di Kapit membabitkan seorang bukan warganegara dan seorang warganegara, masing-masing pada 2 Januari dan 13 Januari lalu.

Dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, sebanyak 13 kawasan rumah panjang di daerah Kapit dan Song dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) bermula 3 sehingga 16 Januari disebabkan sebahagian penduduk dikhuatiri menjadi kontak kes positif COVID-19 sebelum ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 149 unit rumah atau pintu dikenakan ‘lockdown’ di Kapit dan Song.

Saya memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di kawasan saya dan Pejabat wakil rakyat Parlimen Kapit dan ADUN Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya.

Saya juga sedang berbincang tentang bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas.

Wakil saya di Pejabat Parlimen Kapit akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini informasi dan bantuan yang boleh disalurkan.

Dalam pada itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran mengenai amalan pencegahan jangkitan virus ini demi kebaikan semua pihak.

Perkara paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan norma baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai.

Saya yakin, jika kita dapat mendidik serta mengawal diri dan keluarga masing-masing, kita akan berjaya mengekang penularan wabak ini di Kapit, Sarawak dan seterusnya Malaysia secara keseluruhannya.

Marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negara yang kita sayangi ini.

Akhir kata, jika bukan #kitajagakita, siapa lagi…

DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI
AHLI PARLIMEN KAPIT P.215