KUCHING: Sarawak mencatatkan 69 kes positif Covid-19 hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 2,049 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut, Daerah Sibu mencatatkan kes tertinggi iaitu 30 kes diikuti Kuching (10), Bintulu (9), Kanowit (5), Miri (4), Meradong (2), Asajaya (2), Selangau (2), Lubok Antu (1), Samarahan (1), Sarikei (1),Simunjan (1) dan Sebauh (1).

“Bagi daerah Sibu, 29 kes melibatkan Kluster Pasai dan satu kes melibatkan kes yang menjalani saringan kendiri di fasiliti kesihatan swasta.

“Untuk 10 kes di Kuching, lapan melibatkan kes saringan individu balik dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19, satu kes disaring kerana mempunyai kontak kepada kes positif dan satu kes melibatkan Kluster Stutong,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah Uggah, bagi daerah Bintulu, tujuh kes melibatkan Kluster Pasai, satu kes disaring kerana mempunyai kontak kepada kes positif dan satu kes adalah saringan terhadap seorang bukan warganegara yang baru dari dari Pakistan (Kes Import A).

“Manakala lima kes di daerah Kanowit adalah melibatkan Kluster Pasai dan untuk daerah Miri tiga kes melibatkan Kluster Jelita dan satu kes saringan individu pulang dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19.

“Bagi daerah Selangau dan daerah Meradong, dua daerah ini mencatatkan dua kes yang masing-masing melibatkan Kluster Pasai,” katanya.

Menurut Uggah yang juga merangkap Timbalan Ketua Menteri, dua kes dari daerah Asajaya adalah kes yang telah disaring kerana mempunyai tanda dan gejala jangkitan Covid-19 dan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan.

“Satu kes di daerah Lubok Antu pula adalah kes yang telah disaring kerana mempunyai Severe Acute Respiratory Infection (SARI) semasa kemasukan ke Hospital Sri Aman.

“Sementara satu kes di Samarahan adalah individu warga tempatan (Sarawak) yang disaring kerana mempunyai sejarah balik dari kawasan berisiko jangkitan dan satu kes daerah Sarikei melibatkan Kluster Pasai.

“Daerah Simunjan dan Sebauh pula, masing-masing mencatatkan satu kes yang melibatkan Kluster Pasai,” katanya.