PADAWAN: Polis kini sedang mengesan pemilik akaun Facebook Jenifer Lawrence selepas laman itu menyebarkan maklumat palsu berkenaan kes Covid-19 di Sarawak, semalam.

Terdahulu, laman tersebut telah memuat naik maklumat berupa “321 kes positif dalam Sarawak hari ini” di Facebook Sarawak Covid-19 Awareness Group serta dilaporkan tersebar di laman Whatapp kumpulan Covid Malaysia.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya ada menerima laporan aduan daripada orang awam berhubung insiden sekitar jam 7.15 malam.

“Siasatan mendapati pemilik akaun Facebook itu telah memuat naik kenyataan palsu dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

“Walaubagaimanapun kesemua kenyataan itu telah dipadam semula pada jam 6 petang oleh pemilik FB berkenaan,” katanya.

Tegasnya, tindakan siasatan bagi mengesan suspek kini giat dijalankan selepas maklumat didapati fakta palsu serta menimbulkan kegelisahan dan panik dalam kalangan orang awam.

“Kes disiasat mengikut seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan akibat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Ia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.