KUCHING: Semua mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dipastikan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jabatan Kesihatan Negeri telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan memantau kesihatan setiap orang yang dipindahkan.

“Setiap orang akan diambil suhu badan, misalnya kalau ada yang demam, mereka akan diambil ujian calitan dan kalau perlu diasingkan, kita asingkan,” katanya selepas melawat PPS di Dewan Kamaruddin, Kampung Segedup dan Kampung Sinar Budi Baru, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Abang Johari turut menasihati mangsa banjir yang tinggal di rumah dua tingkat supaya tidak perlu berpindah ke PPS bagi mengelak kesesakan.

“Kita nasihati mereka yang ada rumah dua tingkat, tidak perlu berpindah kalau air tidak sampai ke tingkat atas… mereka boleh tinggal di tingkat atas,” katanya.

Beliau berkata, banjir yang melanda ketika ini bukan berpunca daripada masalah sistem perparitan, tetapi atas faktor cuaca.

“Memang ada sedikit punca daripada sistem perparitan, tetapi faktor utama adalah oleh air pasang tinggi dan hujan lebat,” katanya.

Abang Johari bagaimanapun berkata, kerajaan komited dalam menyelesaikan masalah sistem perparitan bagi menanganinya terutama banjir kilat.

“Misalnya di Batu Kawa sahaja, kita sudah meluluskan RM120 juta untuk menaik taraf sistem perparitan dan projek ini sedang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya tabah dan sentiasa berwaspada dalam menghadapi cuaca buruk ketika ini.

Beliau memberi jaminan bahawa setiap orang yang terjejas akan dipastikan dibantu menerusi Pejabat Residen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki; Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Samad Ghani dan Residen Kuching Sherrina Hussaini turut serta.