KUCHING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah telah menempatkan 122 orang mangsa banjir dari 44 keluarga, setakat Jumaat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak,Dato Sri Fatimah Abdullah hadir melawat ke PPS berkenaan bagi melihat sendiri keadaan semasa mangsa, disamping memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.

Menurut Dato Sri Fatimah, setiap ahli isi rumah yang telah berpindah ke PPS akan didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sebagai rekod untuk dilaporkan tiga hari sehari pada setiap hari.

Selain itu jelasnya, JKMS juga menyediakan keperluan dari segi bantal, tilam serta peralatan lain termasuk makanan berbungkus yang diagihkan tiga kali sehari mengikut jadual.

Sejurus selepas itu, beliau bersama rombongan meneruskan tinjauan ke Surau Darul Abrari, Kampung Paroh yang baru diluluskan sebagai PPS.

Mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di surau tersebut juga mendapat bantuan kebajikan dari segi keperluan dan makanan.