KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa Daerah berstatus merah di negeri ini adalah satu keputusan yang tepat untuk membendung penularan Covid-19.

Naib Presiden Dua Pesatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Diana David Itang serta Hal Ehwal Kesenian dan Kebudayaan DTTAS, Malvina Albert Klinsing dalam satu kenyataan bersama berkata walaupun pelaksanaan PKPB agak berat untuk diterima oleh sesetengah pihak tetapi ia perlu diterima secara positif dan terbuka.

Katanya, PKPB dilaksanakan oleh kerajaan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat setelah mengambil kira semua perkara.

“Setidaknya kerajaan telah memaklumkan lebih awal supaya kita lebih bersedia mengharungi PKPB sehingga 26 Januari.

“Ini akan memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 sehingga ke tahap terkawal, sambil mengimbangi pembukaan sektor ekonomi secara berhati-hati,” jelasnya.

DTTAS berkata, diakui rakyat berada dalam keadaan panik dan tertekan ketika ini dimana situasi pandemik ini telah menyekat pergerakan individu untuk pergi bekerja dan mencari sumber pendapatan tatkala penguatkuasaan PKPB diumumkan semula.

Justeru, katanya, keadaan yang berlaku ketika ini harus dijadikan iktibar kepada orang ramai dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar apa yang dialami dapat ditamatkan segera.

Sementara, DTTAS turut menggesa pihak yang terlibat dalam perkhidmatan penting untuk mempertingkatkan aspek kawalan keselamatan dengan menyediakan alat pemeriksaan suhu badan dan mengambil suhu badan.

Tambahnya, pensanitasi tangan juga hendaklah disediakan di pintu masuk dan tempat yang berkaitan serta memastikan amalan penjarakan fizikal dipatuhi.

DTTAS juga menggesa tindakan lebih tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu yang masih degil dan mengingkari arahan ditetapkan pada tempoh PKPB.

“Pada saat yang mencabar akibat wabak virus Covid-19, kita menggesa supaya semua memberi kerjasama serta sokongan padu kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pada masa yang sama kita perlu terus mendoakan barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19. Semua pihak perlu bekerjasama dan akur dengan arahan kerajaan kerana hukumnya wajib ketika ini,”katanya.