Sunday, December 5, 2021

Darurat: Anwar tak perlu ajar Agong

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat adalah satu tindakan yang tepat dan bukan keputusan yang dibuat secara rundingan bersama-sama  individu yang tidak mempunyai kepentingan politik dalam negara.

Justeru itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk   Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa beliau tidak perlu untuk mengajar Yang di-Pertuan Agong dalam soal ini.

“Saya fikir tak perlu dia (Anwar) macam hendak mengajar Agong. Bagi saya, keputusan Agong itu adalah tepat kerana yang penting (ketika ini) adalah menstabilkan politik untuk kita atasi COVID-19 dan kestabilan ekonomi.

“Jadi, saya berpendapat bahawa ahli-ahli Parlimen tidak perlu layan apa yang dituntut oleh Anwar.

“Sebab yang penting sekarang ini adalah semua rakyat, semua jentera kerajaan tumpu untuk mengatasi COVID-19 dan cabaran banjir.

“Situasi begitu sebenarnya, bila sudah diisytiharkan darurat, kita hanya (perlu) fokus kepada bagaimana untuk memberi tumpuan supaya Covid-19 dapat kita atasi dan isu banjir kita selesai, “ ujarnya  seperti dipetik Harakah.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam kenyataannya menyeru semua ahli Parlimen agar merayu kepada Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelaksanaan darurat supaya Parlimen dapat segera bersidang.

Mengulas mengenai sikap Anwar terhadap Yang di-Pertuan Agong, kata Tuan Ibrahim, Presiden PKR itu sudah berkali-kali bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan sudah banyak kali peluang diberikan oleh Baginda.

Namun, Anwar masih gagal untuk menunjukkan sebarang bukti kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengatakan dakwaannya mempunyai angka adalah benar.

Oleh itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, memandangkan negara berada pada saat yang genting pada hari ini, beliau menyeru semua ahli Parlimen memberi fokus kepada rakyat dan menjadi ahli politik yang matang.

“Sepatutnya kita perlu fokus tentang bagaimana untuk wujudkan suasana yang lebih harmoni dalam negara,” jelas beliau lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru