KUCHING: Kerajaan Sarawak menghormati dan akur dengan proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha negara memerangi wabak Covid-19.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos depan dilakukan berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan dilangsungkan apabila perintah darurat berkenaan ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong boleh menarik balik pengisytiharan darurat itu sekiranya penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan dan keadaan semakin pulih.

“Jadi, Sarawak perlu akur dan menghormati proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup pada Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, ujian calitan COVID-19 akan dilaksanakan di semua PPS sekiranya berlakunya kes penularan pandemik tersebut.

“Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi memantau semua PPS yang menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Ini penting bagi kita memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. Ketika ini peningkatan mendadak kes positif di negeri ini susulan kes di Pasai Sibu,” katanya.