KUALA LUMPUR: “Bukan sifat saya hina orang,”  kata Setiausaha Agung Umno  Datuk Seri Ahmad Maslan melalui kenyataan di Facebbooknya hari ini.

Beliau memohon maaf terhadap pihak yang terguris dengan kenyataannya sebelum ini dengan menegaskan bahawa dia bukan seorang yang suka merendahkan orang lain.

Ahmad merujuk kenyataan beliau yang menyifatkan golongan berpendidikan tinggi  dapat lebih memahami keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.

Ini di sebalik gesaan sesetengah pihak dalam Umno supaya PRU diadakan bagi menyelesaikan isu ketidakstabilan politik susulan majoriti tipis Kerajaan PN ketika ini.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas Ahmad dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai sombong dan menghina pekerja biasa.

“Rasanya yang memarut kelapa tadi tu, dia tidak perasan… yang ditemu bual sebagai suara akar umbi  itu tidak tahulah, harap dia sekolah tinggilah.

“Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa tentu dia boleh mengulas dengan lebih tepat,”  beliau dipetik berkata.

“Ya benar saya minta maaf kepada pihak yang terkilan terhadap saya.

“Bukan perangai saya untuk rendahkan orang lain. Bererti itu bukan disengajakan,” kata Ahli Parlimen Pontian itu lagi.

Kata Ahmad, dia dilahirkan dalam keluarga miskin dan merupakan anak penoreh getah.