KUCHING: Seorang lelaki dipercayai hilang selepas cuba menyelamatkan teman wanitanya yang terjun ke dalam Sungai Sarawak kanan, berhampiran kawasan Kubah Ria di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata kejadian dilaporkan sekitar jam 12.52 tengah hari tadi, daripada orang awam yang menyaksikan kejadian.

“Mengikut keterangan adik mangsa, berlaku sedikit pertengkaran antara wanita dan lelaki terbabit sebelum wanita itu terjun ke dalam sungai.

“Lelaki itu kemudian cuba menyelamatkannya, sebab itulah kedua-duanya dihanyutkan air sungai,” katanya ketika ditemu-bual di lokasi berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata wanita berusia 27 tahun itu telah dapat diselamatkan oleh orang awam dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Manakala, katanya lelaki terbabit, yang belum dipastikan umurnya dipercayai hilang dihanyutkan arus sungai.

“Mangsa lelaki masih belum ditemui dan kami sedang berusaha menggunakan pelbagai cara bagi mengesan dan mengenal pasti kedudukan mangsa,” katanya.

Menurut Henderi, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) berdepan kesukaran disebabkan arus sungai yang deras ketika ini ekoran hujan tanpa henti yang sedang melanda.

“Kami juga berhubung dengan pihak baraj dan agensi berkaitan supaya pencarian lebih berkesan dan membuahkan hasil.

“Kami cuba mencari secepat mungkin kerana dalam masa sejam atau dua jam amat kritikal, kami takut mangsa melepasi baraj dan ini menyebabkan skop pencarian menjadi bertambah luas dan ini akan menyukarkan lagi operasi pencarian,” katanya.