KOTA SAMARAHAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang disambar buaya pada Selasa lalu di sungai Kampung Meranek di sini ditamatkan pada jam 1.45 petang tadi.

Komander Operasi Ebby Hirwandy Sarbini berkata, ia susulan penemuan sebahagian penuh paha hingga pergelangan kaki kanan mangsa oleh pasukan SAR sekitar jam 12.05 tengah hari.

Menurut beliau, sebahagian anggota badan mangsa itu ditemui di muara Sungai Samarahan, iaitu sekitar 15 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan 7.5 km dari lokasi mangsa diserang buaya.

“SAR di Kampung Meranek ditamatkan selepas pihak keluarga mangsa mengambil keputusan untuk meyakini bahawa penemuan itu adalah milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ebby berkata, pencarian di permukaan dan tebing sungai (surface searching) ditingkatkan kepada radius 15km di hulu dan hilir kawasan kejadian dan tempat di mana pakaian mangsa telah dijumpai.

Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Atan atau Azyan Azhar, 29 bersama ayahnya Azhar Razali pergi ke Sungai Meranek di sini untuk menarik pukat sebelum dilaporkan hilang oleh adik mangsa pada Selasa lalu.