HARI ini merupakan ulang tahun keempat Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak. Pelbagai inisiatif untuk rakyat telah dilaksanakan sepanjang tempoh itu. Ikuti temu bual eksklusif Wartawan Kanan SV NICK FLETCHER bersama-sama beliau mengenai cabaran, harapan beliau untuk Sarawak pada masa datang.

SV: Genap empat tahun atau 1,440 hari menjadi Ketua Menteri, bagaimana Datuk Patinggi melihat perjalanan sejauh ini?

DATUK PATINGGI ABANG JOHARI TUN OPENG: Alhamdulillah, apabila saya mengambil alih daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, sebenarnya saya telah berjanji kepada diri untuk meneruskan usaha yang telah dirancangkan beliau.

Tambahan pula, pada waktu itu kita baru sahaja memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), malah saya salah seorang daripada pasukan Tok Nan. Apa yang kita janjikan dalam manifesto PRN telah kita kupas bersama dan menjadi agenda pembangunan.

Justeru, walaupun Tok Nan sudah tiada, saya tetap meneruskan usahanya tetapi mengubah sedikit haluan dasar dari sudut ekonomi. Saya nampak sepanjang pengalaman saya dalam Kabinet Sarawak, kira-kira 40 tahun, negeri kita mempunyai satu pendekatan baik termasuk sumber yang boleh kita tambah nilai.

Dan, kita membangunkan seluruh negeri khasnya di luar bandar walaupun kita sudah lebih 40 tahun merdeka.
Saya nampak kita tidak mempunyai keperluan asas dan ia menjadi keutamaan kepada rakyat seperti bekalan air dan elektrik selain pendidikan yang baik.

Satu lagi ialah infrasktruktur yang dapat menghubungkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk, semua ini harus kita tingkatkan.

Perkara kedua ialah masa depan anak Sarawak mestilah cerah. Ekonomi yang kita bangunkan hendaklah dapat mengisi keperluan generasi kita yang sudah mempunyai pelajaran.

Ini kerana jika kita ada mengeluarkan bijak pandai, tetapi ekonomi masih di bawah, mereka tidak dapat berkhidmat di negeri ini. Sebab itu kita nampak banyak anak Sarawak bekerja di luar negeri.

Sebab itu pada 2017, saya terus lancarkan dasar ekonomi digital, keduanya saya terus tubuhkan beberapa institusi strategik bagi kita memajukan ekonomi ke tahap yang telah saya katakan tadi.

Bermakna sejak 2017 hingga hari ini, saya nampak bahawa perancangan besar saya telah dapat saya laksanakan asasnya.

Di samping itu, sudah tentu ia memerlukan peruntukan dengan kita mempunyai fleksibiliti dari sudut dana untuk membangunkan apa yang saya sebutkan tadi.

Sebab itu dalam masa yang sama saya melihat apakah peruntukan yang ada dalam perlembagaan kita yang akan memberikan kelebihan kepada Sarawak dan ini telah saya laksanakan.

Kerana kita menghadapi masalah daripada sumber sendiri. Akhirnya saya memberanikan diri untuk membawa perkara itu ke mahkamah. Akhirnya ia berpihak kepada kita.

Maka kita ada dana untuk diterjemahkan kepada impian negeri ke satu keadaan yang lebih baik dan inilah apa yang telah berlaku dalam beberapa tahun ini.

Datuk Patinggi menyasarkan Sarawak negeri maju menjelang 2030, apakah cabaran utama yang dihadapi setakat ini selain kewangan?

Saya rasa kita tidak mempunyai banyak halangan. Hanya respons rakyat itu sendiri sama ada dapat menerima satu lonjakan yang begitu tinggi dalam kita mengubah ekonomi negeri.

Maka apabila saya lancarkan ekonomi digital, banyak orang agak skeptikal tetapi saya yakin kalau tidak dicuba, kita tidak akan tahu untuk mengubahnya. Begitu juga dengan kedudukan masyarakat kita.

Sebab itu infrasktruktur digital yang menjadi masalah kerana ia mengambil masa antaranya dalam membangunkan menara serta hendak seiring teknologi terkini.

Malah, pada waktu sekarang, tidak banyak berkait dengan fiber optik, tetapi lebih kepada perkomputeran awan dan teknologi ini berubah begitu cepat.

Inilah kekangan kita dari sudut aset, tetapi saya rasa setakat ini apabila saya menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), kita ada pengkhususan dalam hendak mencari aset atau peralatan serta teknologi baharu bagi kita memperkenalkan digital ekonomi.

Kalau dari sudut konsep kefahaman, saya fikir anak Sarawak boleh. Malah baru-baru ini kita nampak sebuah syarikat dari negeri ini telah muncul juara di peringkat kebangsaan dari sudut mendapatkan data jalan-jalan kita yang rosak.

Dari sudut seni persembahan atau imaginasi, kita tahu pelajar sekolah rendah Sarawak pun menang di Brazil. Ini salah satu petanda bahawa kita mempunyai bakat dan hanya perlu ditingkatkan.

Aspirasi untuk tahun hadapan serta tahun-tahun akan datang?

Prinsip dan konsep pembangunan saya buat sejak 2017 hingga 2020, manakala bermula 2021 hingga 2025 menjadi masa untuk kita melaksanakan semua ini termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air. Saya nampak Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares) sangat berkesan. Mengikut angka yang diberikan Sarawak Energy Berhad (SEB), mungkin kita boleh membekalkan elektrik ke rumah panjang serta kampung pada 2023 berbanding 2025 disebabkan teknologi yang ada sekarang.

Begitu juga dengan bekalan air yang saya lihat dapat dicapai pada 2023 atau 2024. Kalau asas berkenaan sudah ada, bermakna masyarakat di luar sana yang berkecimpung dalam apa-apa sahaja sektor sama ada pertanian, pelancongan, perkhidmatan dapat memainkan peranan dalam perubahan ekonomi kita.

Jadi, 2021 merupakan tahun yang pertama kita melaksanakan semua projek ini hingga 2025. Pada masa yang sama kita menyediakan tenaga kerja dan pembangunan bakat yang akhirnya antara 2025 hingga 2030 kita menuju ke arah apa yang telah kita impikan.

Dengan perancangan tersebut, mungkin 2030 tiba lebih awal daripada yang kita rancang?

Saya tidak berani cakap. Kita jangan takbur. Tetapi kita merancang dengan bijak. Jika kita rancang dengan bijak, mungkin ia dapat dicapai lebih awal dan ekonomi Sarawak menjadi pusat keberkesanan kepada negara Malaysia kerana kita mempunyai sumber dan bakat.

Bermakna, ini sudah menjadi satu daripada tarikan dan pelabur akan datang serta mungkin akan melihat kawasan yang dapat dibangunkan serta mengeluarkan barangan yang dapat diterima oleh pasaran tempatan. Malah, lokasi kita strategik. Kalau kita mempunyai dasar yang sedemikian, pelabur akan secara automatik datang.

Yang perlu sekarang ialah kerjasama pembangunan bakat kita dengan institusi pembangunan tinggi.

Saya sangat yakin kalau Sarawak dapat menarik minat pelaburan, kita akan menjadi satu kawasan di Malaysia yang boleh mengembangkan ekonomi negara.

Jadi untuk memungkinkan sasaran tercapai, apakah nasihat atau gesaan Datuk Patinggi khususnya untuk golongan muda?

Pertama, kita mesti mempunyai kestabilan politik yang kukuh kerana jika wujud suasana yang menyebabkan orang sangsi, kita tidak dapat menarik mereka datang. Kedua, ialah generasi muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang baharu. Sekarang saya rasa ia sudah berlaku. Contohnya, Sarawak Metro yang akan mula membangunkan pembangunan Transit Aliran Automasi (ART) kita. Malah ramai anak Sarawak yang berkerja di luar negara sudah kembali. Kalau kita tiada pendekatan untuk menaik taraf pengangkutan awam, mereka ini tidak akan datang.

Begitu juga dengan Sarawak Petchem yang menyaksikan ramai anak muda kita yang bekerja dengan Petronas, Shell kini kembali dan bekerja dengan syarikat berkenaan. Ketiga, saya nampak pertanian kita juga telah menarik mereka dalam bidang tersebut kerana mereka nampak sektor ini membawa pulangan ekonomi yang besar. Ini bermakna sistem ekonomi kita sudah meningkat. Sudah tentu orang tidak mahu bekerja di Sarawak jika sistem kita masih di bawah.

Sementara pelaburan asing umpamanya ekonomi digital, kalau kita dapat menarik pusat data ke sini, tentu sekali mereka yang ada latar belakang analitik siber, data analitik, pakar program malah sektor perbankan akan balik bekerja dengan kita. Bermakna yang perlu ialah ekonomi moden untuk kita memberi peluang kepada orang muda kerana pelajaran mereka ini lain daripada kita dahulu. Saya nampak masa depan kita begitu cerah.

Kalau bercakap mengenai kestabilan politik, mesti ada kefahaman yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama kerana berkongsi budaya membawa manfaat kepada semua pihak. Seperti moto saya dan kerajaan ‘Sarawak for all, all for Sarawak’.

Selepas Sarawak Metro, Sarawak Petchem dan TVS, mungkin ada berita baik lain untuk rakyat Sarawak selepas ini?

Setakat ini, saya sedang memikirkan atau hendak melaksanakan capaian liputan Internet di luar bandar kerana kita memerlukannya di peringkat sekolah dan masyarakat. Saya mempunyai cara baharu, namun terlalu awal untuk saya umumkan hari ini. Insya-Allah akan saya umumkan dalam masa terdekat. Ini akan memberikan manfaat kepada kawasan luar bandar yang telah dikenal pasti untuk mendapat jaringan Internet atau jalur lebar tanpa wayar (wifi). Ini akan berlaku dan berkembang dalam tahun ini (2021). Yang pasti akan memberikan keadaan baharu kepada masyarakat.

Selain itu, kita bina TVS sebagai usaha untuk memberi peluang kepada mereka dalam bidang seni persembahan, jurusan komunikasi serta mereka yang berbakat kerana ia sebagai kerangka atau platform untuk kita melonjakkan ekonomi. Akhirnya, politik ini digunakan untuk memperbaiki masyarakat.

Di sebalik segala usaha untuk melakukan transformasi dari segi ekonomi sosial dan sebagainya, kadar kemiskinan kita masih lagi dalam likungan 16 peratus, apakah tindakan untuk mengatasi masalah ini?

Kemiskinan lazimnya berpunca daripada tidak ada ilmu. Kalau anda miskin ilmu, anda akan miskin. Tetapi kalau ada ilmu, ia akan mengubah nasib. Oleh sebab itu, penekanan kita dari sudut ilmu pengetahuan pendidikan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Sebab itu saya masih berpegang kepada falsafah Cina, ‘jangan memberi ikan tetapi ajar mereka menangkap ikan’ kalau kita hendak mengubah kemiskinan. Malah, banyak cerita di seluruh dunia, orang miskin menjadi kaya kerana mempunyai ilmu. Sebab itu, saya rasa infrastruktur itu perlu. Malah kita tidak boleh hanya menjadi jaguh kampung dan harus keluar dari rumah untuk mencari ilmu. Bermakna kalau anak dia bijak, hidup akan bertukar tetapi yang penting adalah pendidikan.

Kedua ialah dana untuk mendidik. Bermakna kita terpaksa mencari dana untuk menambah biasiswa dan pinjaman kepada mereka ini. Kita di Sarawak mempunyai beberapa institusi pengajian yang digunakan untuk mengubah nasib orang kampung. Masyarakat kalau diberi peluang, mereka dapat berubah. Kemiskinan pada saya berpunca daripada kapasiti dan ilmu.

Jadi menjelang 2030, kita akan dapat menghapuskan kemiskinan?

Saya berasakan kemiskinan tidak dapat dihapuskan kerana definisi kemiskinan ini banyak. Ada miskin bandar, miskin ilmu dan miskin disebabkan malas. Saya melihat kemiskinan ini satu matrik, tetapi asalkan mereka ada pekerjaan, ada pendapatan. Sebab ia sangat subjektif.

Hujah saya secara ekonomi, miskin ialah kalau anda tidak ada aset, tetapi kalau ada aset, adakah itu ditakrif miskin? Kerana dalam buku akaun, mesti ada aset dan liabiliti. Kalau dari sudut wang tunai tidak banyak, tapi ada tanah, bolehkan ini ditakrifkan sebagai miskin?

Jadi ini sangat subjektif kerana orang kampung setidak-tidaknya ada sebidang tanah. Kenapa dia miskin? Sebab tidak ada tunai. Kenapa tidak ada tunai? Sebab tanah tidak diusahakan. Tapi kalau dia ada ilmu, gunakan tanah iaitu asetnya. Maka ini akan memberi pendapatan kepada mereka.

Dari perspektif ekonomi, kita perlu melihat secara menyeluruh. Sebab itu saya kata pertanian kita mesti pertanian moden. Setidak-tidaknya anaknya tahu Internet Bendaan (IOT) dan dia perlu gunakan hidroponik dan fertigasi. Itu sudah dapat menjana pendapatan. Jadi ini pada asasnya ilmu.

Sebab itu untuk membina generasi baru yang berilmu, kita bangunkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Sekolah Antarabangsa termasuk Kolej Teknologi Lanjutan Antarabangsa Sarawak (iCATS). iCATS sudah dinaik taraf kepada kolej universiti.

Saya telah berjumpa dengan Persatuan Orang Pekak, mereka mahu dilatih sebagai juruvideo.

Saya kata mesti ada sijil. Tidak boleh buat begitu saja, maka perlu bekerjasama dengan iCATS. Kalau ada sijil, maka majikan boleh ambil orang pekak.

Bagi saya, dasar sosial, ekonomi dan politik kita disepadukan. Saya yakin kita boleh kerana murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian yang menang di ‘Festival de Cinema Escola de Alvorada’ (FECEA) Brazil, ceritanya sangat ringkas tetapi murid itu ada kreativiti.

Tahun lalu sempena ulang tahun ketiga menjadi Ketua Menteri, Datuk Patinggi telah melancarkan program Sarawakku Sayang. Bagaimanakah perkembangan program tersebut?

Mengenai Sarawakku Sayang, rakyat Sarawak hendaklah melihat apa yang ada di negeri kita dan bagaimana kita hendak membangunkan negeri kita. Umpamanya dasar ekonomi digital waktu kita menghadapi Covid-19. Kita nampaknya sudah bersedia secara spontan bagi menghadapi masalah ekonomi masyarakat kita – bekerja, berniaga secara dalam talian. Semuanya secara dalam talian.

Bermakna konsep Sarawakku Sayang ini termasuklah bantuan serta pembangunan luar bandar dan dalam bandar. Dalam bandar merangkumi pengangkutan awam, kerana kita boleh membangunkan perumahan. Dasar kita sekarang, orang boleh meminjam untuk membeli rumah daripada Mutiara Mortgage, faedah 1 peratus sahaja.

Oleh sebab kita ada dana, jadi kita gunakan untuk bantuan dalam kita menyediakan perumahan yang dapat dibeli oleh masyarakat kita yang berpendapatan rendah. Jadi ini satu daripada usaha Sarawakku Sayang.

Berdepan Covid-19 sesuatu yang amat mencabar. Apakah pengajaran yang diperoleh sebagai pemimpin? Bagaimana melangkah ke depan untuk memastikan Sarawak terus selamat?

Sebab itu saya rasa kita jangan tergopoh-gopoh mengendalikan masalah kerana kita harus menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka. Bermakna, apabila melaksanakan beberapa pendekatan, kita mesti ada senario iaitu kalau ini berlaku secara tidak dijangka, apa kita hendak buat. Umpamanya pandemik Covid-19, orang tidak sangka tetapi waktu pandemik datang, kita sudah ada persediaan. Seolah-olah kita rasakan pandemik akan datang. Sebab itu apabila saya mengambil alih daripada Tok Nan, saya rasa Sarawak harus bergantung kepada diri sendiri, jangan bergantung sangat kepada orang lain. Kita sendiri yang kerja.

Apabila pandemik datang, kita usahakan supaya rakyat kita dilindungi. Mula-mula Kerajaan Persekutuan kata ini polisi nasional, Sarawak mesti ikut termasuk kuarantin. Saya kata tidak kerana dalam perlembagaan kata, di bawah penyakit berjangkit adalah autonomi. Kita boleh menggunakan kuasa kita untuk melaksanakan kuarantin mengikut keadaan kita.

Sebab itu kita menentukan sendiri kuarantin 14 hari, bukan Kuala Lumpur. Walaupun pada dasarnya memang begitu, tetapi kita katakan keadaan Sarawak berkehendakkan kuarantin khas. Kita gunakanlah kuasa yang ada. Sebab itu, anda mesti bersedia untuk sesuatu yang tidak dijangka tetapi kena lihat juga kekuatan sendiri. Alhamdulilah ketika ini kita bolehkan mengawal Covid-19.

Sarawak mendapat pujian daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Komen Datuk Patinggi?

Kita cuba yang terbaik, kita ucap terima kasihlah. Tapi sampai sekarang pun, kita hendak menggunakan kuasa. Umpamanya antara 1 hingga 7 Januari, kita ada 170 pendatang asing tanpa izin (Pati). Kita ada Operasi Benteng. Jadi memandangkan operasi ini di bawah Kerajaan Persekutuan, saya minta pasukan keselamatan bergerak lebih aktif supaya kita dapat menahan mereka selepas keluar dari sempadan. Kita tahu sempadan kita panjang, saya berbincang dengan Tentera Darat Malaysia (TDM). Mereka kata berkehendakkan aset setidak-tidaknya motosikal Scrambler untuk pergi ke jalan tikus. Jadi saya katalah Sarawak akan bantu beli motosikal Scrambler iaitu lebih kurang 10 ke 12 buah.

Selain daripada instrumen kerajaan, bagaimana peranan rakyat Sarawak untuk membendung Covid-19?

Saya berterima kasih kepada rakyat Sarawak – sangat bertanggungjawab. Mereka jaga diri sendiri tetapi kes yang kita ada ini semua import. Tapi orang Sarawak telah membudayakan pemakaian pelitup muka.

Apakah kebimbangan utama Datuk Patinggi apabila buat pertama kali menerajui GPS untuk PRN-12?

Kita melihat masa depan. Rakyat akan menilai apa-apa yang kita buat dan apaa-apa impian mereka untuk masa depan. Di bawah kepemimpinan saya telus dan menekankan kepada rakyat dan Sarawak untuk kita membangunkan negeri. Memang dalam amalan demokrasi, sudah tentu ada yang berhak untuk bertanding. Saya serahkan kepada rakyat… hanya janganlah Sarawak terumbang-ambing, kerajaan mestilah kuat.
Ketika ini, kita pun telah membantu Kerajaan Persekutuan menjadi stabil. Walaupun bukan ahli BN, tetapi kita menyokong kerajaan kerana negara berkehendakkan kerajaan.

Walaupun ketika ini masih ada masalah, saya serahkan kepada mereka tetapi yang penting, Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun mesti menuju ke arah masa depan yang baik untuk generasi Malaysia yang baru. Dalam konteks ini, biarlah kita jaga diri dengan kekuatan dan sumber yang ada. Saya nampak apabila Sarawak mempunyai sistem pentadbiran dan ekonomi yang mantap, maka ia akan menjadi satu tarikan.

Kalau diberi pilihan sama ada untuk mengadakan pilihan raya sendiri atau serentak, mana satu pilihan?

Saya tidak tahu… saya serah kepada apa-apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Tapi kita memang tetap, kita sudah ada masanya.

Dalam pilihan raya yang akan datang, kebanyakan kempen dijalankan secara maya. Bagaimana Datuk Patinggi melihat perkara ini?

Kita ikutlah prosedur operasi standard (SOP). Bagi kami dalam GPS, kami yakin kerana rakyat akan menentukannya.

Apakah asas keyakinan bahawa GPS akan mendapat sokongan rakyat?

Petama, ialah rakyat berkehendakkan kestabilan.

Kedua, ialah dasar-dasar sosial dan ekonomi yang boleh menjamin masa depan.

Ketiga ialah pentingnya perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.
Kami dalam GPS akan mengamalkannya sebagai dasar.

Pentingnya mandat untuk Datuk Patinggi sendiri?

Saya tidak ada kepentingan sendiri… sebab itu banyak orang kata ini mandat Adenan. Saya kata betul tapi saya ialah pasukan Adenan. Bermakna kalau diberi mandat, ini pun bukan mandat saya tapi mandat rakyat Sarawak. Saya pemimpinnya. Saya memimpin dan rakyat akan memberi mandat kepada rakyat Sarawak sendiri untuk menuju ke arah tahun 2030.
Setidak-tidaknya sudah ada tanda rakyat kita dapat menerima dasar ini apabila melihat ahli profesional kita sudah balik, dan tahap ekonomi kita akan meningkat kepada tahap ekonomi moden dalam era moden dan suasana global. Saya nampak kita sudah menuju ke arah sedemikian.

Menjelang pilihan raya ini, bagaimana Datuk Patinggi melihat calon-calon baharu dalam kalangan orang muda?

Itu akan saya tentukan apabila masa sampai.

Tahun ini Datuk Patinggi akan berusia 71 tahun, dengan segala curahan idea pembangunan yang dibawa, bagaimana Datuk Patinggi ingin diingati?

Seperti saya katakan, saya tidak ada kepentingan peribadi. Apa-apa sahaja yang saya ada, saya sumbangkan kepada negeri. Terpulang kepada rakyat melihat dan menilai sumbangan saya sebagai Ketua Menteri ataupun sebelum itu ketika menjadi menteri biasa. Apabila menjadi Menteri Perindustrian, saya yang pertama membawakan pelaburan ke Sarawak iaitu di Samajaya, Kemena dan Sejingkat.

Selepas itu saya ditukar ke Kementarian Pelancongan, kita mendapat penerbangan terus ke Perth dan Jerman. Selepas itu, saya ditukarkan ke Kementerian Perumahan. Saya telah menghidupkan Sibu Jaya daripada sebuah kawasan yang hidup segan mati tidak mahu kepada rumah mesra.

Ini sumbangan saya hingga ke hari ini. Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menilai.