KUCHING: Sarawak terus merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan 180 kes baharu hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,920 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut Daerah Sibu mencatatkan kes tertinggi iaitu
150, diikuti Miri (sembilan), Bintulu dan Kuching (empat), Dalat (tiga), Simunjan dan Sebauh (dua) manakala Limbang, Samarahan, Tebedu, Betong, Sarikei dan
Lubok Antu (satu).

“Bagi Sibu, 148 kes baharu melibatkan Kluster Pasai dan dua kes melibatkan kes lain-lain saringan.

“Untuk sembilan kes di Miri, lima melibatkan Kluster Jelita, dua Kluster Bah Sayap, satu kes saringan yang balik dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19 dan satu lagi melibatkan pengesanan kes secara aktif di premis makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambahnya, empat kes di Kuching masing-masing mencatatkan satu kes dari Kluster Pasai, Kluster Stutong, Kluster Jelita dan kes saringan individu bergejala.

“Manakala, empat kes di Bintulu melibatkan dua kes Kluster Pasai, satu kes Kluster Bukit Sekubong dan satu  kes saringan bergejala.

“Untuk tiga kes di Dalat, ia melibatkan Kluster Pasai dan dua kes di Sebauh pula adalah dari Kluster Bukit Sekubong,” ujarnya.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, dua kes di Simunjan juga melibatkan Kluster Pasai.

“Satu kes di Samarahan melibatkan Kluster Stutong manakala satu kes di Limbang pula dikesan melalui saringan berjadual bagi tujuan melalui negara Brunei.

“Satu kes di Betong pula adalah balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19, satu kes di Tebedu melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di dalam tahanan lokap dan satu kes di Lubok Antu melibatkan saringan individu bergejala,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, Uggah menegaskan satu kes di Sarikei melibatkan warga Sarawak yang melapor diri sebagai penjawat awam ke Sabah.

“Kes telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta di Bandar Sibu dan tiada perkaitan dengan kluster sedia ada, kes juga dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan,” ujarnya.

Sebagai rekod, setakat hari ini juga terdapat tujuh kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu; Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bah Sayap, Miri; Kluster Stutong Kuching; dan Kluster Mador, Meradong.