KUCHING: Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) baharu yang terletak di Jalan Puncak Borneo kini sudah beroperasi.

Menurut Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti,Datuk Francis Harden Hollis, ia mempunyai kapasiti untuk rawatan dan pemulihan secara dalam institusi bagi 250 orang klien dalam satu-satu masa atau tambahan kapasiti sebanyak 100 berbanding dengan CCRC yang lama, yang hanya menempatkan 150 orang klien.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Laporan Bulanan One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah Dan Substance (MIDS) Negeri Sarawak Bil. 1/2021 di Kuching pada Rabu.

Katanya, Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Sarawak juga telah bersetuju untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang baharu untuk Zon Utara Sarawak di Miri juga telah dipersetujui untuk dibina bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan dalam institusi di Sarawak.

Tambah beliau, sepanjang Disember juga, OSC MIDS telah menganjurkan sebanyak 19 siri program Operasi/Intervensi Bersepadu Bagi Isu Dadah Dan Substance (OBID) di peringkat daerah.