KUCHING: Mayat seorang bayi yang dijumpai di belakang bangunan Maybank Jalan Bukit Mata di sini, dipercayai dibuang dari hotel berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Ghani berkata, susulan daripada itu seorang perempuan berumur 19 tahun ditahan kerana disyaki merupakan ibu kepada mayat bayi tersebut.

Menurut beliau, suspek ditahan di bilik sebuah hotel berdekatan dengan tempat kejadian.

“Suspek kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan manakala mayat bayi dihantar ke hospital yang sama bagi tindakan selanjutnya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, bayi tersebut dijumpai oleh orang awam sekitar jam 9.20 malam tadi dan dipercayai dibuang dari hotel berdekatan dengan tempat kejadian.

“Selepas mendapat maklumat tersebut, sepasukan polis membuat siasatan dan menemui mayat bayi terbaring di tempat kejadian dengan kecederaan di kepala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan,” jelasnya.