KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengarahkan Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sarawak untuk mengadakan Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) di beberapa kawasan di Daerah Kuching susulan kenaikan jumlah jangkitan positif COVID-19 di Daerah Kuching.

Operasi ACD dijalankan susulan peningkatan kes dan kewujudan Kluster Stutong dan Kluster Keranji dengan tertumpu di beberapa kawasan iaitu di Milan Square pada Isnin lalu yang berjaya mencapai sasaran 300 orang.

Manakala operasi di ICom Square telah dijalankan pada Selasa lalu dengan sampel yang dicapai adalah 1084 sampel iaitu melebihi sasaran 500 sampel. Operasi juga turut dihadiri oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato’ Wee Hong Seng.

Operasi di Kampung Serikin, Bau pada Rabu pula berjaya mengesan 584 sampel yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon.

Kira-kira 200 anggota dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi ACD dan sanitasi.