KUCHING: Kejadian banjir air pasang besar yang berlaku di Kampung Bako telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Katanya, mereka yang terjejas akan segera dibantu bagi meringankan beban yang dihadapi.

“Bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas akibat banjir akan disalurkan segera dan dilaksanakan secara berterusan.

“Ianya bertujuan meringankan beban penderitaan yang terpaksa dihadapi mereka dan memberi semangat supaya tabah menghadapi bencana yang berlaku,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Bako pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai kejadian banjir yang berlaku itu, Dr Hazland menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan sungai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut agar sentiasa berhati-hati ketika musim hujan ini.

“Ketika ini Sarawak mula menghadapi musim hujan dan pertembungan air pasang besar telah menyebabkan berlakunya banjir.

“Mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai seperti kebanyakan kampung dan kawasan dalam DUN Demak Laut perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting.

“Pastikan barangan elektrik dan dokumen penting diletakkan di tempat tinggi, dan tutup suis utama elektrik serta sekiranya diarahkan berpindah perlu berbuat demikian demi keselamatan,” ujarnya.

Ketika ini beberapa kawasan di Kuching, Serian dan Miri telah mengalami banjir dan ada di kalangan penduduk yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir.