SERIAN: Projek Membaik pulih Jalan Kampung Rayang dan Kampung Rituh Labuan kini telah siap 50 peratus.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, projek dijadual siap pada 31 Mac 2021 itu dijangka siap awal dari tempoh yang ditetapkan.

Ketika merasmikan penyerahan tapak Projek Baik Pulih Jalan kampung-kampung tersebut di Serian pada Rabu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat memberitahu, kedua-dua projek itu merupakan projek di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) bagi tahun 2020.

Katanya, Projek Baikpulih Jalan Kampung Rayang melibatkan jalan sepanjang 2.1 kilometer menelan kos sebanyak RM252,602.

Manakala bagi projek baik pulih jalan Kampung Rituh Labuan yang menelan kos sebanyak RM130,215 melibatkan kerja menurap semula jalan sepanjang 800 meter, kerja-kerja menembok batu (telah siap) dan menurap jalan baru sepanjang 265 meter.