KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  hari ini meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di Pertuan Agong secepat mungkin bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan  seterusnya parlimen bersidang.

Anwar dalam surat yang dihantar kepada ahli parlimen, memohon mereka menulis warkah tersebut Jumaat ini supaya parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

“Dalam surat tersebut saya telah mencadangkan kepada semua ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera,” kata Ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan hari ini

“Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua ahli parlimen atau parti,” katanya lagi.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” kata Anwar.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah  pada Selasa memberi perkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19.