SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris hari ini telah melawat dan meninjau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan.

Setiba disitu, beliau diberi taklimat oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengenai keadaan terkini dan jumlah mangsa yang telah ditempatkan di PPS berkenaan.

Jelasnya, menurut laporan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut dijangka akan bertambah berikutan Daerah Simunjan masih lagi hujan lebat.

Sepanjang lawatan, beliau telah bersemuka dan memberikan kata-kata semangat kepada mangsa-mangsa banjir, yang melibatkan 40 orang daripada 18 buah keluarga dari Kampung Melanjok, Kampung Sungai Raya dan Kampung Simunjan Jaya .

Difahamkan, kesemua mangsa banjir telah ditempatkan di PPS itu sejak semalam berikutan hujan lebat sejak Selasa yang telah mengakibatkan beberapa buah kampung dan rumah dinaiki air.