KUCHING: Jabatan Imigresen Negeri Sarawak menangkap sejumlah 356 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negeri ini untuk tempoh 1 hingga 12 Januari lalu sempena Op Benteng.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kesemua Pati berkenaan ditangkap di kedai makan, rumah sewa, kawasan awam, kedai runcit dan pasar ikan.

“Sementara pada 10 dan 11 Januari, Imigresen telah menangkap seramai 48 orang dengan 40 daripadanya  warganegara Indonesia, India (5), dan Filipina (3).

“Mereka ditangkap melalui Operasi Khas yang telah dijalankan di sekitar Kuching, Sibu dan Miri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, kesemua PATI berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu Tinggal Lebih Masa dan tidak memiliki pas yang sah.

Bagi Op Benteng Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, katanya PGA membuat serbuan dan tangkapan 22 individu di jalan Biawak, Lundu di bawah Akta Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Imigran.

“Kesemua mereka dibawa ke Poliklinik Sentosa untuk dibuat saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala dua Pati warga Indonesia di jalan tikus Kampung Sungai Paoh, Serian diarahkan untuk kembali ke negara asal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan lima kes pengusiran serta penahanan Pati bersama-sama tekong warga Malaysia serta rampasan barangan tanpa tuan yang cuba dibawa keluar dan masuk ke Sarawak bermula pada 9 hingga 12 Januari lalu di sempadan Sarawak – Indonesia.

“Di Tebedu, terdapat penahanan satu Pati bersama-sama tekong serta kenderaan berjumlah RM50,600 pada 09 Januari.

“Satu lagi kes rampasan pada 11 Januari dan menjumpai satu beg berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 78.8 gram.

“Di Biawak, terdapat dua kes pengusiran Pati pada 10 dan 11 Januari. Manakala di Serikin terdapat satu kes pengusiran melibatkan dua PATI pada 10 Januari lalu,” tambahnya.

Beliau turut mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 39 kompaun dengan 31 di daerah Kuching, Song (3), Samarahan (2), Betong (2) dan Padawan (1) kerana melanggar SOP.