KUCHING: Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut JPBNS, kapasiti kehadiran adalah seramai 20 orang sahaja pada satu-satu masa dan dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

“Garis panduan (SOP) terperinci boleh didapati di dalam laman rasmi Kementerian Kerajaan tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH),” kata JPBNS dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan berkaitan JPBNS berkata, SOP Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) bagi Daerah Kuching, Sibu dan Miri telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak di dalam portal rasmi MKN (www.mkn.gov.my)

“SOP ini berkuatkuasa di daerah berkenaan pada tengah malam ini, jam 12.01 pagi sehingga 26 Januari 2021 jam 11.59 malam,” ujar JPBNS.

JPBNS turut menyatakan bagi pengoperasian panggung wayang, hanya bahagian makanan dan minuman sahaja dibenarkan beroperasi.

“Ia merangkumi pembelian untuk dibawa balik dan penghantaran makanan seperti Food Panda dan Grab Food sahaja.

“Ini bermakna aktiviti menonton wayang adalah tidak dibenarkan,” jelas JPBNS.