SIBU: Seorang anggota polis yang bertugas di IPD Kanowit bersama isterinya disahkan positif COVID-19 semalam (Selasa) selepas dijangkiti Kluster Pasai.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong dalam satu kenyataannya semalam.

Menurutnya, anggotanya itu bersama isterinya ada menghadiri majlis pengebumian di Rumah Langi Ambau di Pasai Siong pada 29 Disember lalu.

“Kedua-duanya disahkan positif selepas menghadiri majlis tersebut.

“Terdahulu, mereka berdua telah diambil sampel di Klinik Kesihatan Lanang serta diarahkan untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah mulai 9 Januari lalu hingga 22 Januari ini di kuarters anggota polis IPD Kanowit,” ujar beliau.

Namun, kata Tega, keputusan sampel ujian PCR COVID-19 pada 11 Januari (Isnin) mendapati anggota tersebut bersama isterinya positif COVID-19 dan dibawa ke hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, anggota terbabit telah hadir bertugas pada 1 Januari lalu di kaunter aduan Balai Polis Kanowit selepas selesai bercuti.

“Susulan itu, IPD Kanowit telah menyenaraikan nama anggota yang mempunyai kontak rapat dengan anggota terbabit untuk diambil sampel saringan calitan COVID-19  dengan segera,” tegas beliau.

Tega menambah, Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit pada hari ini juga telah melakukan kerja-kerja pembasmian dan pensanitasi kuman di kawasan IPD Kanowit dan kawasan yang berisiko dijangkiti virus COVID-19.