KUCHING: Ketua Menteri yakin bahawa rakyat akan terus memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak pada PRN-12 nanti.

Dalam temu bual dengan SV sempena ulang tahun keempat beliau sebagai Ketua Menteri pada Jumaat lepas,  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengemukakan tiga faktor atas keyakinan berkenaan.

Pertama, menurut beliau yang juga Pengerusi GPS ialah rakyat berkehendakkan kestabilan sosiopolitik.

“Kedua, ialah dasar-dasar sosial dan ekonomi yang dapat menjamin masa depan mereka,” katanya.

“Ketiga ialah pentingnya perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

“Kami dalam GPS akan mengamalkannya sebagai dasar,” tegas Abang Johari.

Namun, darurat yang diisytiharkan sejak semalam hingga 1 Ogos depan menyebabkan PRN-12 tidak boleh diadakan dalam tempoh berkenaan.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri sekarang akan tamat pada 7 Jun depan. Hal ini bermakna DUN akan terbubar secara automatik.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sekarang, dari segi perlembagaan akan terus memerintah susulan pengisytiharan itu dan kerajaan akan berjalan seperti sedia kala.