DEBAK: Jadikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang serius di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebagai amaran untuk mereka yang berada di zon hijau agar tidak bebas keluar masuk dalam kawasan yang diisytiharkan zon merah.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, mereka yang tinggal di zon hijau boleh memastikan kawasan masingmasing kekal selamat dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak perlu keluar masuk secara bebas di kawasan yang diisytiharkan zon merah, jika tiada keperluan mendesak.

“Sebaliknya, kita harus bersama-sama menumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 dan mengekalkan status hijau.

“Justeru, saya menyeru masyarakat di Bahagian Betong agar lebih berjaga-jaga… patuh arahan pihak berkuasa,” katanya ketika ditanya tentang peningkatan mendadak kes positif di Sarawak sejak kebelakangan ini pada Isnin.

Beliau dalam pada itu mengingatkan rakyat agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sesuatu berita.

“Kita bimbang dengan pandemik Covid-19, janganlah lagi ditambah dengan pelbagai cerita yang tidak tepat yang disebar sesuka hati… ini boleh menyebabkan situasi panik.

“Kita perlu lebih bertanggungjawab jawab dalam hal ini. Saya menyarankan semua pihak merujuk kepada saluran berita yang sahih untuk mengikuti perkembangan semasa.

“Dalam masa yang sama, terus patuhi SOP, menjaga kebersihan, penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka dan mengelak berada di kawasan sempit serta sesak,” ujarnya.

Razi turut menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 sebelum ini supaya melakukan ujian saringan secara sukarela seperti diarahkan oleh pihak kesihatan.