SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Unit Korporat JAIS menerusi satu kenyataan memaklumkan, siasatan tersebut susulan tindakan Muhammad Sajjad di dalam negeri ini serta beberapa aduan yang diterima jabatan berkenaan pada 2018 dan tahun lepas mengenai perlakuan usahawan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Jais turut mengambil maklum mengenai satu video yang ditularkan oleh usahawan terbabit berkaitan insiden melibatkan dirinya dan beberapa anggota penguat kuasa jabatan berkenaan baru-baru ini.

“Sajjad (Muhammad Sajjad) telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.

“Pegawai penguat kuasa JAIS yang berkaitan juga telah dipanggil memberikan keterangan mengenai laporan yang dibuat (Muhammad Sajjad),” menurut kenyataan itu seperti dipetik Bernama, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pendedahan Muhammad Sajjad yang mendakwa mendapat layanan tidak wajar daripada penguat kuasa JAIS sebelum ini.