KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menjunjung titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Negara, sebagaimana nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Kata Mohamad, memandangkan rasional yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk mengurus pandemik Covid-19, maka segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah bertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata- mata.

“Sepanjang tempoh darurat, kita berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang2 mestilah tetap di pelihara,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebooknya.

“Usaha mestilah di lakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen ke tempat asalnya,” ujarnya.

“Semoga keputusan dan langkah yang diambil kerajaan ini akan membantu membawa kebaikan dan kejayaan dalam ikhtiar memerangi pandemik Covid-19 ini, insya-Allah,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.