KUALA LUMPUR: Umno menjunjung titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana nasihat  Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Menurut Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memandangkan rasional yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

“Sepanjang darurat berlangsung, Umno berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara.

“Kerajaan juga harus memberi jaminan untuk mengambil berat kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat terutamanya mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.”

Tegasnya, usaha harus dilakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Dalam kenyataan Istana Negara itu memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif CovidD-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.