SARATOK: Seekor buaya sepanjang sembilan kaki yang terperangkap di dalam parit dekat Kampung Melango, malam tadi berjaya diselamatkan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat memberitahu, anggotanya diketuai PBK II Hamden memerlukan sekitar 30 minit untuk menjinakkan haiwan jenis pemangsa itu selepas dimaklumkan oleh orang awam pada 8:19 malam.

“Pasukan bertindak kecemasan yang dikerahkan ke lokasi berjaya menangkap buaya yang dianggarkan sepanjang sembilan kaki dengan ukur lilit badan tiga kaki,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Jelasnya, reptilia tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.