KUCHING: Fenomena ‘King Tides’ atau air pasang besar dijangka berlaku pada jam 6 petang ini dengan paras 10.6 meter.

Menurut Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak (LSS), Dr Murni Suhaili berkata, sekiranya hujan berterusan, risiko untuk air Sungai Sarawak melimpah keluar dari tebingan sungai adalah amat tinggi.

“Ini kerana isipadu air sungai yang mengalir dari kawasan tadahan adalah berlebihan, selain ditambah lagi dengan fenomena air pasang hari ini di hilir Kuching Barrage,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu, hujan lebat berlaku secara tidak konsisten di beberapa kawasan berdekatan dengan Sungai Sarawak Kiri dan trend paras air sungai menurun.

Manakala di Sungai Sarawak Kanan pula, hujan renyai dan mendung berlaku di kebanyakan kawasan berdekatan dan trend paras air sungai juga menurun.