KUCHING: Ketua Menteri yakin bahawa satu daripada strategi atau cara terbaik untuk menangani dan membanteras masalah kemiskinan di negeri ini adalah melalui pendidikan.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, banyak kisah di seluruh dunia bagaimana orang miskin menjadi kaya kerana mereka mempunyai ilmu.

“Sebab itu saya berpegang kepada falsafah Cina, jangan memberi ikan, tetapi ajar mereka menangkap ikan’,” katanya dalam satu temu bual khas dengan SV sempena ulang tahun keempat menjadi Ketua Menteri  Sarawak pada hari ini.

“Sebab itu infrastruktur penting. Malah kita tidak boleh hanya menjadi jaguh kampung dan harus keluar dari rumah untuk mencari ilmu. Bermakna kalau anak dia bijak, hidup akan berubah, tetapi yang penting ialah pendidikan,” katanya.

“Kedua ialah dana untuk pendidikan. Bermakna kita terpaksa mencari dana untuk menambah biasiswa dan pinjaman kepada mereka ini,” ujar Abang Johari.

”Kita di Sarawak mempunyai beberapa institusi pengajian yang digunakan untuk mengubah nasib orang kampung,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat kalau diberi peluang, pasti dapat berubah.

“Kemiskinan bagi saya berpunca daripada ketiadaan  ilmu dan kapasiti,” jelasnya.