KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu terus stabil dan kuat serta mempunyai sistem pentadbiran  dan ekonomi yang mantap, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, apabila faktor berkenaan wujud di negeri ini, ia akan menjadi daya tarikan kepada pelabur asing  untuk melabur dan rakyat hidup  dengan aman dan harmoni di negeri ini.

“Dalam konteks ini, biarlah kita jaga diri dengan kekuatan dan sumber yang ada,” jelas Abang Johari kepada SV dalam satu wawancara sempena ulang tahun keempat beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, hari ini.

“Kita melihat masa depan. Rakyat akan menilai apa-apa yang kita buat dan apa-apa impian mereka untuk masa depan,” katanya.

“Di bawah kepemimpinan saya telus dan menekankan kepentingan dan kebajikan rakyat,” jelas beliau.

Ujarnya, memang dalam sistem demokrasi, ada yang berhak untuk bertanding.

“Saya serahkan kepada rakyat…hanya janganlah Sarawak terumbang-ambing. Kerajaan mestilah kuat,” tegasnya.

Mengulas tentang kepentingan mandat, beliau berkata: “Saya tidak ada kepentingan sendiri…sebab itu banyak orang kata ini mandat Adenan (Tan Sri Adenan Satem). Saya kata betul, tetapi saya ialah pasukan Adenan. Bermakna kalau diberi mandat ini pun bukan mandat saya tetapi mandat rakyat. Saya pemimpinnya,” jelas beliau.

“Saya memimpin dan rakyat akan memberi mandat kepada rakyat Sarawak sendiri untuk menuju ke arah 2030,” ujarnya lagi.