KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidil Ismail menegaskan Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dilaksanakan bermula jam 12 malam ini serta-merta.

Menurutnya, seramai 308 petugas daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat dalam penugasan tersebut yang meliputi tiga Zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

“Lima SJR akan didirikan di Zon Kuching (Kuching, Padawan, Serian, Samarahan, Bau dan Lundu).

“Empat SJR dilaksanakan di Zon Sibu merangkumi Sibu dan Sarikei manakala Zon Miri hanya meliputi Miri sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau pada masa sama menegaskan pengumuman darurat adalah bagi membolehkan agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PDRM, ATM, dan lain-lain agensi dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengawalan penularan Covid-19.

Katanya tindakan itu bagi membendung kemungkinan peningkatan kes positif wabak tersebut kepada 5000 sehari sekiranya ia tidak dilaksanakan sekarang.

Tambahnya, polis Sarawak bersama agensi kerajaan yang lain akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi ketiga-tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) jelasnya, masih tetap dikuatkuasakan di daerah-daerah lain di Sarawak seperti yang pernah dilaksanakan dahulu.