Tuesday, July 27, 2021

Bagaimana dengan nasib  Pilihan Raya Negeri Sarawak?

Mesti baca

Pilihan raya umum tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021,

Itu penegasan yang dibuat oleh  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas pengisytiharan darurat hari ini.

Tujuannya menurut beliau adalah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Ini termasuk pilihan raya negeri ataupun pilihan raya kecil.

Maksudnya, tidak boleh sama sekali PRU dan PRN atau PRK diadakan untuk tempoh sekitar tujuh bulan itu.

Implikasinya, PRN Ke-12 Sarawak tidak boleh diadakan pada tempoh berkenaan.

Ya, betul penggal DUN Sarawak sekarang akan berakhir pada 6 Jun depan. Tidak kira penggal berkenaan berakhir atau tidak, selagi darurat berkuat kuasa, bermaksud PRN tidak boleh diadakan.

“Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan. Saya tak berniat untuk tidak adakan pilihan raya.

“Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati ke Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan ialah pandemik Covid-19,” kata Muhyiddin dalam perutusan itu.

Kenyatannya itu dibuat di tengah-tengah beberapa pemimpin Umno menggesa supaya pilihan raya umum diadakan memandangkan Muhyiddin ketika ini mempunyai majoriti tipis di Parlimen.

“Saya memberikan komitmen yang tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik saja jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak Covid-19 dah reda atau pulih sepenuhnya, dan pilihan raya dah selamat untuk diadakan.

“Pada masa itu terpulanglah pada rakyat untuk pilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah negara ini dan jaga kebajikan saudara saudari sekalian. Inilah komitmen dan aku janji saya yang akan saya tunaikan .

“Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat yang sedang hadapi mudarat besar adalah penting ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, menurutnya parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong.

Badan kehakiman bagaimanapun akan berjalan seperti biasa.

Menurut beliau, tujuannya agar pilihan raya tidak diadakan sewaktu pandemik sedang menular di negara sebagai menjaga nyawa dan keselamatan rakyat daripada jangkitan tersebut.

Sejak kebelakangan ini jangkitan Covid-19 mencecah empat angka setiap hari sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Secara Rawak

Artikel Terbaru