Friday, October 7, 2022

PKP: Ucapan Penuh Perdana Menteri

Secara Rawak

PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamuálaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat walafiat.

Saudara dan saudari sekalian,

1. Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19
pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes). Bermula
penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi
COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang
telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

2. Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September
2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari
2021 melibatkan 259 kluster (54.41%) tempat kerja. Data ini
menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam
gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan
semasa gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72%) melibatkan
tempat kerja.

3. Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan
sehingga 10 Januari 2021 dengan 48.46% daripadanya merupakan
kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga,
sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah
pun diisytiharkan tamat.

4. Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID19 di Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi keskes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara.

5. Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, keskes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63% dan hanya 37% melibatkan warganegara. Namun perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan
warganegara semakin meningkat. Sehingga 11 Januari 2021,
sebanyak 70% kes positif COVID-19 di Malaysia adalah melibatkan
warganegara dan hanya 30% bagi bukan warganegara.

6. Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1
bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes
harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes
sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak
kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

7. Semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal
penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya
menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes
jangkitan COVID-19 kepada angka satu (1) hingga dua (2) digit
sehari.

8. Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa
pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan
rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan
bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh
diuruskan dengan lebih berkesan.

9. Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat
seluruhnya yang amat bimbang dengan perkembangan
peningkatan kes kebelakangan ini. Kerajaan juga sangat
memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas
kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak.
Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin
tenat.

Saudari saudari yang saya kasihi,

10. Pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000
kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point.
Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita
hadapi sekarang:

I. Lima belas (15) buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar
penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
II. Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit
COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital
Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus. Sementara itu, kadar
penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima (5) buah
negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak
telah melebihi 70 peratus.

III. Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di
hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa
menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

IV. Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada
521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia
mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober
hingga Disember 2020 berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian
sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

V. Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan
petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di
bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah
COVID-19 (PKRC).

VI. Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga
menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga
di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil
ICU untuk pesakit kritikal.

Saudara dan saudari sekalian,

11. Dalam menangani pandemik COVID-19 ini, amat penting bagi
mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes
yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

12. Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan
melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip
mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang
memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

13. Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah
realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang
terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang
campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

14. The situation today is indeed very alarming. Our healthcare
system is under tremendous pressure now than at any other time
since the start of the pandemic. As I have said before,
unprecedented situations call for unprecedented measures.

15. Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta
pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar
kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan
pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk
memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

16. Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari
bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021
sehingga 26 Januari 2021.

Perintah ini melibatkan tiga peringkat
pelaksanaan seperti berikut:
a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau
Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur,
Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah
negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah,
Terengganu dan Kelantan.
c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan
bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan
sepanjang tempoh tersebut.

17. Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang
berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan
perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti
maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan
bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan
atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Saudara dan saudari sekalian,

18. Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan
rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan
beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan
keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan
sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P,
aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP
yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK
DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP,
pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

19. Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini,
operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada
jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri
yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam

10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan
keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan,
HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar
dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu
yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum
RM1,000.

20. Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5)
sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai
sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan
dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan
pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

21. Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya
menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan,
minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri;
kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas
kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan
rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal
dan kerja-kerja kecemasan.

22. Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan
pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi
pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang
diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan
masing-masing. Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang
ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang
ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung
sewaktu berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang
melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan
COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil
berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

23. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan
sebagai essential economic sector. MITI dan Kementerian Kerja
Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang
dibenarkan beroperasi.

24. Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan
sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work
from home akan berkuatkuasa. Semua majikan mesti mematuhi
arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti,
terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan
langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di
tempat kerja.

25. Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja
dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away
manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya
dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah
ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan
beroperasi.

26. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital
dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP
pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempattempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga
penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya
tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar
rumah. Stay at home.

27. Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan
di semua sektor peruncitan adalah mencukupi. Pemantauan
terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak
masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayursayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan
dilakukan setiap hari.

Saudara dan saudari sekalian,

28. Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat,
khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan
kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan
SPM bagi sesi 2020 dan 2021. Mereka dibenarkan hadir ke sekolah
dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
akan memperincikan SOP ini.

29. Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau
rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP
dengan jumlah maksimum 5 orang. Bagi negeri yang dikenakan
PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan
bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP. Pihak
berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang
bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.

30. Saya juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh
yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental.
Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang
berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah
dengan anggota isi rumah sahaja. Pastikan jarak anda dari orang
lain adalah dua (2) meter setiap masa. Kalau hendak berjogging,
jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau berbasikal, janganlah
secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.
Saudara dan saudari yang sangat saya sayangi,

31. Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting
untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara. Semua
kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan
rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk
melakukan aktiviti social di luar – akan mampu menyelamatkan
nyawa kita semua.

32. Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup
bersama kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya
mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah
untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun,
memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan
dari bersentuhan.

33. Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau
community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masingmasing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19.
Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam
perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat
kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis
daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga
tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19
ini.

34. Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan
komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan
oleh Ketua Setiausaha Negara bersama Menteri Tugas-Tugas Khas
telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah
pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

35. Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita
agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP
yang ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan
keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas
kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa
bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal
penularan jangkitan COVID-19 ini.

Saudara saudari sekalian,

36. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk
mengumumkan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19
akan bermula pada 21 Januari 2021 di sembilan (9) buah Hospital
KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (Clinical Research
Centre – CRC) masing-masing.

37. Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka
akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal
menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon
vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical
Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS)
ini. Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari
Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali,
Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada
8 Januari 2021.

38. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran
vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.
Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin
Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya’Allah.
Sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin
COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar apabila bekalan
diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan.

39. Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus
atau 20-23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19.
Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal
dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi
perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan
vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi. Kerajaan juga sedang
dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan
Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah
melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

40. Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri
keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan
digunakan di Malaysia. Proses penilaian ini dibuat oleh
Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi
Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan
Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut
boleh digunakan di Malaysia.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya
sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Ya
betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu
bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk
penyembuhan.

42. Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri
melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan
kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang
berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat
awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

43. Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan
memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada
menjadi lebih teruk. Saya sangat berharap agar segala nasihat dan
peringatan yang saya sampaikan hari ini akan dipatuhi sepenuhnya
oleh setiap lapisan masyarakat.

44. Saya beri jaminan bahawa Kerajaan akan lakukan yang
terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan
saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang
terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan
masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh
menang. Insya-Allah.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
11 JANUARI 2021

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru