BATU KITANG: Seramai 40 orang penduduk yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang menerima bantuan barangan keperluan harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang berkata, bantuan tersebut disumbangkan oleh para peniaga Batu 10 dan pihak penganjur iaitu Persatuan Sosial dan Kebajikan Kota Padawan.

Sehubungan itu, beliau amat memuji sikap keprihatinan dan kepekaan rakyat di negeri ini dengan masyarakat di sekeliling.

Beliau berkata demikian semasa Program Pembangunan Komuniti Projek Rakyat bertemakan “Towards A Caring society” di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Batu 10 pada Ahad.

Dalam majlis itu, Lo Khere Chiang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Sosial dan Kebajikan Kota Padawan, Persatuan Kelab Sukan Rekreasi Kota Padawan dan 10th Mile Amateur Athletic Association.