JAKARTA: Perwakilan syarikat Hyundai,, Hyundai Motors Indonesia (HMID), mengesahkan bahawa Hyundai Asia Pasifik bakal memindahkan ibu pejabat serantaunya di Petaling Jaya, Malaysia  ke Indonesia.

Proses pemindahan pejabat ini telah berlangsung sejak 2019.

Pengurus Besar Pemasaran Astrid A. Wijana  menjelaskan  ibu pejabat  Hyundai Asia Pasifik sebelumnya terletak di Malaysia.

“Sebelumnya, beberapa fungsi operasional Pejabat Pusat Hyundai Asia Pacific dikelola dari pejabat yang berada di Malaysia, dan pejabat tersebut akan ditutup dan dipindahkan ke Indonesia,” kata Astrid melalui pesan singkat sepeerti dipetik CNN Indonesia.

Kata Astrid,  perpindahan pejabat itu memerlukan waktu tidak sebentar agar proses transisi berjalan lancar.

“Namun, proses tersebut memerlukan waktu dan persiapan yang matang agar dapat dikelola dengan baik untuk transisi yang lancar,” jelas beliau.

Menurut Astrid  lagi, perpindahan pejabat pusat Hyundai Asia Pasifik tersebut sesuai penyusunan semula bisnes yang dimulai sejak 2018.

“Pejabat pusat Hyundai Asia Pacific memang telah berdiri di Indonesia pada awal 2019 sesuai dengan penyusunan semula bisnes Hyundai di luar negeri mulai 2018, yang mencakup bisnes di Indonesia, pejabat Hyundai Motor Company di Australia, dan juga pejabat di Malaysia,” kata Astrid.

Ibu pejabat Hyundai Motor bagi Asia Pasifik dibuka pada 2015 dan beroperasi sebagai pusat latihan teknikal, latihan kemahiran dan pemasaran bagi jenama itu di rantau ini.

Syarikat itu juga membuka Akademi Latihan Hyundai yang menawarkan latihan kepada pelatih pusat pengedaran di Asia Pasifik yang merangkumi 33 negara di rantau ini.

Media melaporkan pada November lalu, Hyundai Motor memeterai perjanjian awal untuk membina kilang pengeluaran baharu di Indonesia dengan pelaburan berjumlah AS$1.55 bilion (RM6.24 bilion) membabitkan perancangan sehingga 2030.