KUCHING: Gereja Anglikan di sini masih dibenarkan mengadakan upacara sembahyang, walaupun peningkatan kes Covid-19 yang agak membimbangkan.

Bagaimanapun, Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei, Rt Rev Datuk Danald Jute berkata ia diadakan dengan jumlah orang yang terhad dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Buat masa ini, sembahyang di gereja di Kuching masih diteruskan dengan pematuhan SOP,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah Gereja Anglikan susulan peningkatan kes Covid-19 di sini.

Pada masa sama, beliau berkata bagi yang tidak dapat hadir ke gereja, mereka juga boleh mengikuti upacara secara langsung menerusi dalam talian.

Menurut Danald, pihaknya belum memutuskan untuk menangguhkan upacara sembahyang gereja Anglikan di sini (Kuching) walaupun gereja di Sibu telah ditangguhkan berikutan peningkatan kes positif di daerah itu.