KUALA LUMPUR:  Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kes kematian akibat COVID-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata setakat sembilan hari dalam tahun baharu ini sebanyak 71 kes kematian akibat pandemik itu direkodkan, berbanding kurang daripada 100 kematian dicatatkan dalam sembilan bulan pertama tahun lepas.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah lindungi kita semua. #Kitajagakita,” katanya menerusi akaun Twitter.

Sembilan jam selepas dimuat naik, hantaran itu menerima 9,334 respon suka dari pengguna Twitter, sebanyak 7,856 kali diulang ciap dan menerima 232 komen.

Seorang pengguna Twitter Ariff Zuber dalam komen maklum balasnya berharap kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh supaya tidak lagi berlaku kes kematian COVID-19.

“Kesian dekat jenazah sebab keluarga tidak boleh hendak bagi mandi untuk kali terakhir dan juga solat jenazah untuk si mati buat kali terakhir,” menurut ciapannya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sebanyak 542 kematian atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 133,559 kes.

Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat COVID-19 iaitu sebanyak 16 kematian pada Jumaat lepas.