JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat, SAR berjaya membawa keluar lapan lagi beg mayat dipercayai penumpang pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan 15 beg mayat ditempatkan di hospital setakat ini.

Menurut Kompas TV, kesemua mayat mangsa ditempatkan di Hospital Polri Jakarta Timur.

Satu demi satu ambulans dilihat tiba membawa keluar beg dipercayai berisi mayat yang belum diketahui keadaannya.

Susulan itu, proses pengecaman mayat mangsa dimulakan dengan melakukan padanan DNA dengan waris dan keluarga.

Pada malam Ahad, Pasukan SAR dalam operasi pencarian pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu, mula menemukan serpihan pesawat dan enjin, barangan penumpang serta cebisan-cebisan mayat.

Pesawat Boeing 737-500 yang digunakan di penerbangan ini diketahui terbang perdana pada 13 Mei 1994, dengan kapasiti maksimum 112 penumpang.

Pada waktu kejadian, ketinggian pesawat adalah 10,900 kaki, dengan kecepatan 287 knot.

Kompas melaporkan pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air dengan nombor penerbangan SJ182 dilaporkan kehilangan ketinggian dalam waktu singkat, empat minit pasca-lepas landas dari Lapangan Twerbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, pada Sabtu  pukul 2.30 Waktu Indonesia Barat.

Pesawat itu seharusnya tiba pada pukul 3.15 petang  di Lapangan Terbang Soepadio, Pontianak.

Berdasarkan laporan yang dimuat naik oleh  akaun Twitter Flightradar24, insiden tersebut terjadi empat minit setelah Sriwijaya Air SJ182  berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.